Sunday, May 8, 2011

hey wanita..! jg cik V kamu oke..

“PSSTT doktor! Saya rasa ada sesuatu di ‘bawah sana’. Rasa tak selesa tapi tak berani hendak periksa sendiri. Boleh doktor tolong tengok?”
Bagi pakar sakit puan wanita, ini bukan permintaan luar biasa kerana tidak ramai wanita yang sanggup melihat apatah lagi memeriksa sendiri anggota sulit mereka.
Bahkan untuk membincangkan isu kebersihan alat sulit pun agak sukar kerana ia dianggap perkara memalukan.

Malah ketika bengkel kesihatan dihadiri wartawan wanita (kecuali dua jurugambar lelaki - sudah berkahwin), suasana terasa agak janggal apatah lagi apabila doktor menayangkan gambar yang sepatutnya menjadi rahsia.

“Apa yang membezakan anggota sulit atau faraj dengan muka? Secara analoginya, ia sama dengan muka kerana kedua-duanya mempunyai ciri yang sama - ada kulit, rambut dan membran mukus.

“Jadi masalah yang dialami pada muka seperti jerawat, reaksi alahan, kekeringan, menggelupas atau jangkitan fungus, juga boleh berlaku di kawasan faraj.

“Kebanyakan wanita sanggup mengeluarkan banyak wang untuk penjagaan muka tetapi bahagian bawah yang turut memerlukan penjagaan rapi kurang diberi perhatian.
“Muka kita tengok dan belai setiap hari tetapi anggota yang sulit itu mungkin tidak pernah dilihat langsung,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Tang Boon Nee.

Persoalannya, adakah kita patut melihatnya?

Ya. Bagaimana? Gunakan cermin. Mengapa? Seperti diterangkan di atas, bahagian yang paling sulit ini juga boleh mengalami beberapa gangguan seperti jangkitan, keradangan (menjadi merah dan bengkak atas pelbagai sebab) atau kecederaan selepas terjatuh terutama pada kanak-kanak perempuan.

Antara gangguan yang boleh timbul ialah kehadiran sista Bartholin (benjolan mengandungi cecair di bahagian dalam bibir faraj), alahan, jangkitan herpes, ketuat atau kanser pada bibir faraj.

Walaupun ada antara masalah ini boleh menyebabkan kesakitan tetapi kebanyakan wanita cuba bertahan selama mungkin dan hanya berjumpa doktor apabila kesakitan itu sudah tidak tertanggung.

Namun rungutan yang biasa diterima daripada wanita membabitkan anggota sulit mereka ialah rasa gatal, sakit, bengkak, masalah bau yang kurang menyenangkan, kehadiran lendir atau sebarang bentuk ketumbuhan.

Menurut Dr Tang, masalah yang paling biasa di negara beriklim panas dan lembap seperti negara kita ialah jangkitan. Ia lebih kerap berlaku pada wanita gemuk atau menghidap kencing manis.

Jadi jika anda berada dalam kumpulan ini, perlu lebih berhati-hati kerana risiko untuk mendapat jangkitan adalah lebih tinggi.

Ramai orang beranggapan wanita yang mempunyai kehidupan seksual aktif lebih mudah mendapat jangkitan. Memang benar tetapi wanita yang tidak aktif (seksual) pun boleh mengalami jangkitan kulit faraj.

Masalah pengeluaran lendir seperti putih telur juga menyebabkan ramai wanita dan gadis remaja berasa tidak selesa.

Bagaimanapun usah bimbang kerana ia normal dan biasanya pengeluaran lendir lebih banyak sebelum haid.

“Jangan panik jika anda mengalami sebahagian daripada perkara yang disenaraikan di atas kerana ia dianggap masalah biasa bagi wanita. Bukan semua rasa gatal disebabkan jangkitan atau ketumbuhan itu kanser. Namun untuk kepastian, boleh berjumpa doktor untuk pemeriksaan,” katanya.

Walaupun hampir 80 peratus wanita Malaysia tahu akan kewujudan produk penjagaan bahagian sulit, tetapi kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kebersihan untuk kawasan yang kecil itu masih rendah.

Berdasarkan soal selidik pengguna yang dijalankan Sanofi Aventis pada 2008; hanya 52 peratus wanita Malaysia yang menggunakan produk sedemikian berbanding 80 peratus di negara Asia Tenggara lain seperti Thailand dan Filipina.

Biasanya produk ini digunakan apabila wanita berhadapan dengan masalah atau sebelum berjumpa doktor. Kebanyakan wanita menghentikan penggunaan produk penjagaan bahagian sulit ini apabila masalah yang dihadapi itu hilang.

“Saya kerap ditanya, adakah cukup membersihkan bahagian sulit dengan air? Jawapannya ya. Ini kerana faraj mempunyai persekitaran yang bersifat berasid dan ia mampu mencegah jangkitan.

“Bagaimanapun tidak salah jika mahu menggunakan produk pencuci khusus untuk keselesaan. Apa yang penting ialah sentiasa memastikan ia sentiasa bersih,” katanya.

Oleh kerana kedudukan faraj sangat dekat dengan usus yang mengandungi banyak jenis bakteria, maka jangkitan mudah berlaku. Antara cara untuk mengelakkan jangkitan ialah memastikan bahagian ‘bawah sana’ dibersihkan dengan baik khususnya selepas buang air besar. Apabila mencuci, pastikan pergerakan menghala ke belakang iaitu membersihkan faraj dulu diikuti dubur. Ini kerana jika pergerakan mengarah ke depan, kita boleh memindahkan bakteria daripada dubur ke faraj.

Perlukah bercukur? Ia terpulang kepada pilihan masing-masing. Ada yang bimbang jika tidak bercukur akan menyebabkan bahagian itu berbau. Anda tidak perlu terlalu risau kerana jika kebersihan terjaga, tiada orang boleh ‘menghidu’ bau anda. Jika didapati ia berbau kuat atau hanyir, itu menandakan ada jangkitan dan segeralah berjumpa doktor.



Apa yang perlu dihindarkan?


  • Terlalu kerap memakai pakaian ketat (terutama seluar). Tahukah anda seluar yang terlalu ketat boleh menyebabkan bahagian itu berbau.




  • Membiarkan kelembapan terperangkap dalam jangka masa lama kerana ia menyediakan persekitaran sesuai untuk pembiakan bakteria. Justeru, perlu memastikan seluar dalam anda sentiasa kering.




  • Pencucian faraj yang berlebihan seperti memancutkan air ke dalam faraj atau memasukkan jari yang bersabun ke dalam faraj untuk membersihkannya. Tindakan ini akan menghilangkan sifat asid pada faraj dan mendedahkan anda kepada jangkitan kulat.




  • Sentiasa memakai pelapik seluar dalam. Walaupun ia baik untuk menjamin kebersihan tetapi bagi sesetengah wanita khususnya yang sensitif, penggunaan pelapik seluar dalam yang berpanjangan boleh menyebabkan kerengsaan dan reaksi alahan.




  • Memasukkan objek asing ke mana-mana bahagian faraj termasuk menindik atas apa tujuan sekali pun.


    Apa yang boleh dilakukan?




  • Sentiasa memastikan bahagian sulit sentiasa bersih.




  • Cuci sekerap mungkin. Boleh gunakan cecair pencuci khas atau sabun yang bersifat lembut




  • Pakai pakaian yang longgar. Tidak mengapa jika anda gemar berpakaian mengikut bentuk badan, tetapi selang selikan dengan pakaian longgar.




  • Pastikan bahagian ini sentiasa kering. Anda boleh gunakan alat pengering rambut tetapi pastikan angin tidak panas!




  • Ketika haid, disarankan supaya kerap menukar tuala wanita dan seluar dalam. Bagi yang menggunakan tampon, pastikan ia dikeluarkan setiap hari sebelum tidur.




  • Jumpa doktor apabila anda rasa ada sesuatu yang tidak kena.




  • Ada kajian menunjukkan pemakanan boleh memberi kesan secara langsung kepada bau faraj. Untuk bau yang lebih ‘manis’ kurangkan makan daging dan produk daging, sebaliknya lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta minum banyak air.




  • Jangan sapu bedak di bahagian ini. Kajian menunjukkan talkum atau bedak boleh menyebabkan kerengsaan.




  • sumber: metro online 09 mei 2011

    No comments:

    Post a Comment

    Powered By Blogger

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...